Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Apartment Mewah Pusat Judi ‘Online’ Diserbu

By 29 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Satu sindiket perjudian dalam talian berjaya ditumpaskan pihak polis dalam satu serbuan di Emerald Apartment, berhampiran Hotel Mercure, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil maklumat yang diperolehi, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat serbuan kira-kira jam 7.30 malam dan berjaya menahan 16 individu termasuk dua wanita.

“Serbuan pertama di Tingkat 17 yang membawa ke Tingkat 20 dan dapat menahan sembilan orang serta menemui sembilan komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama.

“Siasatan seterusnya membawa pasukan polis ke Tingkat 24 dan didapati terdapat tujuh orang lagi yang disyaki terlibat dengan sindiket ini dan merampas empat komputer riba serta tujuh telefon bimbit lagi,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditahan merupakan warganegara tempatan berumur 18 hingga 39 tahun dipercayai bekerja sebagai operator sindiket tersebut dan akan dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya.

Antara komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sindiket perjudian dalam talian yang diserbu pihak polis, semalam.

Antara komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sindiket perjudian dalam talian yang diserbu pihak polis, semalam.

“Modus operandinya menggunakan operator-operator ini untuk menghantar mesej-mesej kepada telefon bimbit orang ramai secara rambang, mengajak melayari laman sesawang yang menawarkan aktiviti-aktiviti perjudian dalam talian.

“Siasatan awal juga mendapati sindiket ini telah beroperasi di sini sejak dua bulan lalu dan keuntungan yang diperolehi hasil kegiatan tersebut lebih kurang RM30,000 sehari yang menyasarkan orang tempatan.

“Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 termasuk mengenal pasti ketua sindiket dan akan direman esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.

Katanya, sindiket perjudian dalam talian ini memilih tempat-tempat mewah yang sukar untuk dikesan tanpa maklumat risikan bagi mengaburi pihak berkuasa.

-NAZ

Tinggalkan komen anda