Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Solat Sunat Aidilfitri di Rumah – Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka

By 29 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Haniza Harun, FB Jabatan Mufti Melaka

MELAKA, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah bermuzakarah dan telah menetapkan beberapa perkara berkaitan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, takbir raya dan amalan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Garis panduan ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui satu surat pekeliling bertarikh 23 April 2020.
Menurut Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil (gambar) pada tahun ini, solat sunat hari raya perlu dilaksanakan di rumah masing – masing dalam kalangan ahli keluarga rumah tersebut sahaja.

“Ahli keluarga yang baru sembuh dari COVID-19 dan yang diarahkan untuk kuarantin di rumah tidak dibenarkan untuk menyertai solat sunat secara berjemaah, walau bagaimanapun kedua-dua individu dalam ketegori tersebut boleh melaksanakan solat sunat hari raya secara bersendirian.

“Pesakit dan petugas di hospital dibenarkan melaksanakan solat sunat hari raya tertakluk kepada peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala petugas yang diamanahkan bertugas di masjid dan surau, solat sunat hari raya boleh dilaksanakan tertakluk kepada pekeliling dan arahan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri,” ujarnya.

Katanya lagi, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, takbir hari raya di masjid dan surau hanya dilaksanakan oleh iman, bilal dan siak sahaja atau dengan menggunakan rakaman. Takbir raya dari rumah ke rumah pada malam hari tidak dibenarkan dan setiap keluarga digalakkan untuk melaungkan takbir hari raya di rumah masing –masing.

Manakala amalan ziarah menziarahi untuk bersilaturahim hanya dibuat dengan menggunakan alat komunikasi dan media sosial sebagai pengganti diri.

“Rumah Terbuka Aidilfitri tidak boleh diadakan bagi mengelakkan penularan wabak penyakit. Bacaan Yassin dan tahlil boleh diadakan di rumah selepas solat sunat Aidilfitri bagi menggantikan amalan menziarahi kubur pada hari raya,” ujar Abdul Halim Tawil.

-KN

Tinggalkan komen anda