Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19; Empat Kematian Direkodkan, 57 Kes Keseluruhan

By 4 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM

PUTRAJAYA, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat empat kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah mereka yang maut akibat COVID-19 adalah sebanyak 57 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham, berkata sehingga tengah hari tadi terdapat 150 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,483 kes dan daripada 150 kes ini, 80 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Bagi kes yang discaj pada hari ini menyaksikan seramai 88 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 915 kes,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dr Noor Hisham turut menyatakan komitmen KKM untuk terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi ini.

“Orang awam diseru agar menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk disaring sekiranya menghadiri atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

“Orang awam dipohon untuk memberikan kerjasama kepada agensi-agensi yang terlibat dalam memerangi COVID-19 di negara ini. Tempoh dua minggu akan datang ini amat penting di mana kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda