Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Cadangan Moratorium kepada Peminjam LPPSA Akan Dibawa ke Kabinet – Tengku Zafrul

By 4 April 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Cadangan untuk menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium bagi peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk penjawat awam akan dibawa untuk perbincangan kabinet minggu depan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata semua cadangan akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan juga kementerian serta agensi yang berkaitan.

“Jadi tunggulah pengumuman kalau ada mengenai ini (moratorium bagi LPPSA),” katanya ketika ditanya cadangan supaya peminjam LPPSA turut diberikan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan kepada peminjam yang juga penjawat awam bagi meringankan beban mereka ketika penularan COVID-19.

Ditanya sama ada cadangan itu akan dibawa ke kabinet nanti, Tengku Zafrul berkata: “Perbincangan dalam kabinet insya-Allah minggu depan. Jadi kita tunggu lepas perbincangan kabinet. Ada banyak cadangan tapi kita akan bincang cadangan-cadangan yang boleh membantu.”

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan peralatan perubatan iaitu 10 unit ventilator bernilai RM1.2 juta dan 20,000 keping topeng muka daripada dua syarikat China – China Construction Bank (Malaysia) Bhd dan Beibu Gulf Holding Malaysia Sdn Bhd – bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam mengekang penularan COVID-19, di sini hari ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda