Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COVID-19: JCorp Bantu Barisan Hadapan dan Golongan B40

By 10 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Johor Corporation (Johor Bahru) 

JOHOR BAHRU, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Johor Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya komited dalam menyokong usaha kerajaan untuk menangani pandemik wabak COVID-19.

Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, dana berjumlah RM3 juta berjaya dikumpulkan untuk pembelian 20 unit Mesin Penghidap Pernafasan (RVM) yang diperlukan untuk merawat pesakit COVID-19 di seluruh Johor.

“Selain JCorp, dana itu turut disumbangkan oleh KPJ Healthcare Berhad, Kulim (Malaysia) Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd, Johor Land Berhad, Damansara REITS Managers Sdn Bhd, Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) dan Waqaf An-Nur (WANCorp) sebagai entiti korporat yang prihatin dan bertanggungjawab.

Johor Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya komited dalam menyokong usaha kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19 - Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp.

Johor Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya komited dalam menyokong usaha kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19 – Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp.

“Sumbangan tersebut disalurkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sebagai badan penyelaras untuk pembelian RVM tambahan yang diperlukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan baharu-baharu ini.

Menurut Syed Mohamed, anggota sukarelawan Briged Waqaf JCorp juga turut membantu mengedarkan risalah COVID-19 kepada orang ramai di sekitar bangunan yang diuruskan oleh DASB, mengambil bacaan suhu badan para pelanggan di pintu masuk bangunan serta menyerahkan sumbangan berupa peralatan dan barang keperluan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan barisan hadapan lain yang bernilai RM45,629.

“Sehingga 8 April, sejumlah RM197,000 telah dikumpul melalui WANCorp di mana sebanyak RM136,000 telah diagihkan kepada 3,043 buah keluarga yang memerlukannya di seluruh negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi mengurangkan beban para pekerja pula, pihaknya telah mewujudkan tabung bantuan dalaman yang akan memberi manfaat serta bantuan kepada kakitangan yang di dalam kelompok B40,” ujarnya lagi.

JCorp dan syarikat kumpulannya turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Wira Malaysia dan berharap mereka akan terus diberi kekuatan dan perlindungan sepanjang perjuangan membasmi pandemik COVID-19 ini.

“Kami berharap dengan sumbangan ini akan memberi impak yang selaras dengan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak ini,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda