Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COVID-19: Kumpulan JCorp Salur Sumbangan Lebih RM4.54 Juta

By 26 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 26 Apr (Malaysiaaktif) – Johor Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya telah menyalurkan sumbangan lebih RM4.54 juta bagi membantu kerajaan dalam mencegah dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Menurut Menteri Besar yang juga merupakan Pengerusi JCorp Datuk Hasni Mohammad, sumbangan ini termasuk bantuan berjumlah RM3 juta bagi membiayai pembelian 20 unit mesin bantuan pernafasan (RVM) untuk keperluan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang telah dijangkiti wabak COVID-19 di hospital seluruh negeri Johor.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah berkenan menyerahkan 42 unit RVM kepada hospital di negeri Johor, baharu-baharu ini, yang mana dana berkenaan diuruskan oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Selain daripada sumbangan RVM, bantuan berjumlah RM727,849 dalam bentuk barangan juga telah diberikan oleh Kulim (M) Berhad (Kulim), KPJ Healthcare Berhad (KPJ), QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR Brands), Johor Land Berhad (JLand), Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) dan KARA Holdings,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh JCorp, semalam.

Hasni memaklumkan, bantuan yang diterima turut meliputi peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk para petugas barisan hadapan dan peralatan perubatan bagi kegunaan hospital, selain termometer, produk nanas Melita, set hidangan KFC dan Pizza Hut serta produk Ayamas yang diagihkan kepada pasukan petugas di pelbagai agensi.

“Kulim, JLand dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) turut menyumbangkan bantuan berupa wang tunai berjumlah RM131,600 kepada beberapa  badan serta persatuan yang memerlukan.

“Sumbangan keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu juga turut diagihkan kepada 3,183 keluarga golongan B40 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM161,668 bagi tempoh 22 Mac hingga 13 April lepas,” ujarnya.

Tambah beliau, JCorp dan syarikat kumpulannya akan terus komited membantu kerajaan dan komuniti yang terjejas bagi memastikan usaha mencegah dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 mencapai matlamat sifar jangkitan.

“Saya menyeru dan berharap lebih ramai dermawan  tampil menyumbang untuk membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Sumbangan untuk Dana COVID-19 yang diuruskan oleh WANCorp boleh dibuat menerusi pautan: http://toyyibpay.com/Tabung-Bantuan-Covid-19- atau disalurkan ke dalam Akaun Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru: 01014010060023 (Bank Islam Malaysia Berhad),” ujarnya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda