
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM
PUTRAJAYA, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Dua kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 67 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik yang lain.
“Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 5.00 pagi tadi, manakala kes kematian kedua melibatkan seorang wanita berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.
“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19 dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak meskipun beliau bukan peserta persidangan tersebut. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia hari ini, 9.42 pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat sebanyak 416 kes positif COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara Malaysia, termasuk satu kes kematian yang telah dilapor pada 8 April lalu.
“Daripada jumlah tersebut, warganegara Indonesia mencatatkan rekod tertinggi dengan 51 kes diikuti India dengan 37 kes. Negara-negara lain yang turut direkodkan adalah Myanmar, Pakistan dan Filipina dengan masing-masing 31, 29 dan 27 kes.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama rapat dengan pihak United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya lagi.