
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan platform yang mudah kepada orang ramai membeli barangan keperluan dapur serta bahan mentah seperti ayam, ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan.
Timbalan Pengarah Pembangunan dan Pengurusan FAMA Negeri Pulau Pinang, Ahmad Salim, berkata inisiatif ini diadakan bagi membantu orang ramai untuk mudah mendapatkan bekalan barangan dapur dalam tempoh PKP.
“FAMA turut memberi pilihan kepada pengguna sama ada menggunakan pembelian dalam talian untuk orang ramai membeli barang-barang keperluan atau hadir sendiri ke lokasi FAMA berhampiran.
“Manakala FAMA Bukit Mertajam juga menyediakan perkhidmatan membeli barang dengan kaedah pandu lalu yang memudahkan urusan pelanggan,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Bagi pengunjung yang datang membeli barangan, mereka perlu mematuhi peraturan sedia ada dengan memakai topeng muka serta melalui pemeriksaan suhu badan dan menjarakkan diri satu meter di antara satu sama lain.
Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah turut mengambil kesempatan mengedarkan poster pencegahan COVID-19 serta melakukan hebahan umum kepada orang ramai untuk mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakkan yang telah dikuatkuasakan.
-ii-