Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

JKM Gerak Petugas Seluruh Negara, Redah Zon Merah Pastikan Bantuan Sampai

By 4 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Sukar untuk digambarkan betapa besarnya pengorbanan pasukan keselamatan dan petugas barisan hadapan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 selain memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya duduk di rumah.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tidak ketinggalan sebagai agensi yang diwartakan perkhidmatan penting (essential service) pada 31 Mac, turut tidak terkecuali berada di lapangan dengan menghantar bantuan berupa makanan kepada golongan sasar yang memerlukan sepanjang tempoh ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata antara tugas dilakukan JKM di setiap negeri ialah bantuan berupa penghantaran bakul makanan kepada masyarakat yang hilang pendapatan dan memerlukan semasa tempoh PKP.

Beliau berkata anggota-anggota JKM ini juga wajar dihargai kerana mereka merisikokan diri dengan memasuki ke zon merah COVID-19 menghantar bantuan berkenaan ke kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Sg Lui Hulu Langat, Simpang Renggam, Kluang dan Menara City One Kuala Lumpur di sini.

“Selain itu, para petugas kementerian turut bertanggungjawab di 40 stesen kuarantin di seluruh negara yang satu daripadanya merupakan premis KPWKM sendiri iaitu Institut Sosial Malaysia.

“Di stesen kuarantin ini kita bekalkan bukan sahaja makanan bermasak sebanyak enam kali setiap hari, malah kita turut bekalkan bekalan harian termasuk barangan kebersihan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemilihan bantuan JKM dibuat hasil daripada rujukan orang ramai, pemimpin setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menerusi talian Kasih 15999.

Minggu lepas, KPWKM telah membuat pembayaran sebanyak RM150 juta yang memberi manfaat kepada 500,000 penerima bantuan bulanan JKM pada 25 Mac lepas.

Bantuan berkenaan sepatutnya diberikan April ini, namun telah dipercepatkan 15 hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya berikutan memahami kesukaran warga sasar itu sepanjang tempoh PKP.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda