Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih 1000 Pemain Dijangka Sertai Kejohanan MyEsports MyStay@HomeChallenge 2.0

By 20 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KBS

PUTRAJAYA, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 128 pasukan dengan seramai 1,152 peserta dijangka menyertai kejohanan MyEsports : MyStay@HomeChallenge siri kedua (2.0) yang akan bermula pada peringkat negeri, 22 hingga 23 April ini bagi memilih wakil ke Kejohanan Peringkat Kebangsaan pada hujung bulan ini.

Menurut Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kejohanan dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) itu akan mempertandingkan lima acara kali ini berbanding hanya dua pada kejohanan lalu.

“Sambutan hebat daripada pemain-pemain e-Sukan seluruh Malaysia pada siri yang pertama, kejohanan kali ini melibatkan permainan Mobile Legends & PUBG di 13 buah negeri dan dua Wilayah Persekutuan.

“Kejohanan dirancakkan dengan pertambahan tiga permainan iaitu Counter Strike : Global Offensive (CS:GO), FIFA Pro Club dan Defense of the Ancients (DOTA 2), yang akan dipertandingkan pada peringkat kebangsaan sahaja,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut KBS, Kejohanan MyEsports 2.0 ini adalah bersempena dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 Fasa 3 yang telah dilanjutkan hingga 28 April, maka syarat utama kejohanan adalah peserta perlu berada di rumah masing-masing walaupun kategori yang dipertandingkan adalah secara berkumpulan.

“Secara keseluruhannya, penganjuran kejohanan ini adalah inisiatif dalam memastikan penggemar e-Sukan khususnya para belia untuk terus kekal duduk di rumah sepanjang PKP ini, di samping mengisi masa lapang dengan bermain permainan video melalui promosi gaya hidup sihat.

“Penggemar atau pemain e-Sukan yang berminat untuk menyertai kejohanan ini boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kelayakan,pendaftaran, syarat-syarat penyertaan menerusi media sosial KBS serta ESM,” tambah kenyataan itu lagi.

Tinggalkan komen anda