
Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Petugas media di Terengganu menerima pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam melaporkan berita yang tepat dan sahih berkaitan pandemik COVID-19.
Mereka telah menerima sumbangan yang disalurkan melalui Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) dan semalam, Kawat menerima sumbangan sebanyak RM10, 000 daripada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokthar.
Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Terengganu, Adram Musa kepada Presiden Kawat, Khairul Azlam Mohamad.

Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar Terengganu, Adram Musa (kiri) menyampaikan cek RM10, 000 kepada Presiden Kawat, Khairul Azlam Mohamad.
“Ahmad Samsuri terpanggil untuk membantu petugas media yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu itu dikhususkan kepada wartawan sambilan yang tidak bergaji tetap,” kata Adram yang mewajili Menteri Besar Terengganu.
Presiden Kawat turut menjelaskan bahawa sumbangan berupa wang tunai itu akan diagihkan oleh Kawat kepada mereka yang telah dikenalpasti dan berharap ianya dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terbabit.
Khairul Azlam turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu yang prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh petugas media, terutama mereka yang pendapatannya bergantung kepada jumlah berita yang disiarkan.

Timbalan Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Nurhanis Marhana (dua dari kiri) menyampaikan bungkusan buah buahan dan sayur sayuran kepada kepada Presiden Kawat, Khairul Azlam Mohamad.
Selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu menyumbang buah-buahan dan sayur-sayuran kepada petugas media yang bertugas di lapangan pada situasi Covid-19.
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Nurhanis Marhana kepada 60 petugas media di Pejabat FAMA Negeri Terengganu semalam.
Nurhanis berkata, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan FAMA kepada petugas media yang sanggup berada di lapangan bagi menyampaikan maklumat yang tepat berkenaan pandemik COVID-19 kepada masyarakat.

Petugas FAMA dan petugas media mengagihkan buah buahan dan sayur sayuran untuk diagihkan kepada wartawan.
Selain itu, Kawat juga menerima sumbangan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman daripada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.
Wartawan Harian Metro, Ahmad Rabiul Zulkifli berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak amat dihargai dan mengucapkan terima kasih kerana ada pihak yang membariskan petugas media sama seperti petugas kesihatan dan keselamatan.
“Kepada rakan media, diharapkan agar anda semua sentiasa mematuhi peraturan kebersihan bagi mengelak daripada jangkitan Covid-19 ketika bertugas,” pesan Rabiul.
Wartawan China Press, Wong Fei Fun pula merasa seronok dan dihargai kerana petugas media seperti beliau masih diingati dan disenaraikan untuk menerima sumbangan.
“Pandemik COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan dan kebimbangan kepada beliau ketika bertugas dan penghargaan yang diterima mampu mengembalikan semangat untuk beliau terus bertugas demi menyampaikan maklumat yang sahih kepada orang ramai,” ujar beliau.
-ii-