
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/Zanizal Zamani (Seberang Perai Utara)
PENAGA, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang kini mencecah 98 peratus, terutamanya selepas fasa kedua dilaksanakan dengan tiada lagi pemandu kenderaan memberikan alasan tidak munasabah dan keluar hanya untuk membeli barangan keperluan asas.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan jumlah kenderaan yang berada di atas di jalan raya juga berkurang sebayak 50 peratus berbanding pada minggu pertama pelaksanaan PKP.

Sahabudin (dua dari kanan) ketika mengadakan pemantauan dan tinjauan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga.
“Sehingga 9 April, pihak PDRM telah menahan seramai 589 individu di seluruh negeri kerana gagal mematuhi PKP dan pihak polis akan meneruskan sekatan jalan raya, rondaan serta operasi bagi mengesan mereka yang ingkar,” katanya ketika mengadakan pemantauan dan tinjauan di Pasar Bisik Kuala Muda, di sini baru-baru ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan kepada orang ramai yang telah dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggari peraturan PKP, mereka diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.
“Bayaran kompaun boleh dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan,” tambahnya.
-ii-