Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Wang Pendahuluan Bazar Ramadan Akan Dikembalikan – Ayub

By 19 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shah Hood/MedKom (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan di negeri ini beroperasi dan bersetuju untuk memulangkan semula wang pendahuluan kepada para peniaga dalam masa yang terdekat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Ayub Jamil, tindakan ini selaras dengan ketetapan kerajaan pusat untuk tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar, gerai Ramadan atau secara pandu lalu beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membantu mempromosi dan memasarkan produk peniaga dalam talian yang akan dibantu oleh dua buah syarikat pengendali platform yang telah dilantik oleh kerajaan negeri.

“Mereka yang ingin mempromosi atau memasarkan produk perlu melalui saringan dan tapisan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutama yang membabitkan kesihatan dan kebersihan premis penyediaan produk makanan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Ayub memaklumkan bahawa ini merupakan gerakan awal atau langkah permulaan kerajaan negeri bagi membantu para peniaga kecil untuk terlibat secara aktif dalam ekonomi digital.

“Lapan PBT dijangka akan memulangkan semula wang pendahuluan bazar Ramadan tahun ini kepada 3064 peniaga yang bernilai RM855,695 dalam masa terdekat.

“Johor memiliki 220 lokasi bazar Ramadan yang melibatkan 12,000 peniaga berdaftar dengan PBT Negeri Johor,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, berdasarkan rekod tahun lalu, bazar Ramadan di negeri ini mencatatkan nilai jualan melebihi RM200 juta.
-NI-

Tinggalkan komen anda