Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

14 Individu Berada di Kampung Dikompaun pada 1 Syawal

By 25 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 25 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 14 individu yang merentas negeri dan berada di kampung masing-masing untuk meraikan Aidilfitri semalam dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa tindakan kompaun itu membuktikan pihak berkuasa serius dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan SOP dipatuhi.

“Ada yang tidak percaya apabila saya kata polis akan buat pemantauan ketika Hari Raya, tetapi polis buat kerja. Yang sudah balik kampung (rentas negeri) melepasi jalan tikus tetap dicari.

“Ini terbukti semalam apabila 14 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang ketika itu berada di kampung masing-masing. Jadi kalau saya kata perkara ini serius, masih ada yang ambil ringan (mudah),“ katanya dalam sidang media harian PKPB, di sini, hari ini.

Mengenai sekatan jalan raya di 162 lokasi, Ismail Sabri, berkata terdapat peningkatan jumlah segelintir mereka yang degil dan mencuri-curi merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri iaitu sebanyak 1,243 kenderaan telah diarah berpatah balik berbanding 1,158 pada hari sebelumnya.

Ismail Sabri berkata setakat ini, kerajaan masih kekal dengan keputusan tidak membenarkan rakyat untuk merentas negeri.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda