
PUTRAJAYA, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Bank Islam Malaysia Bhd kini mempertingkat kemudahan pembayaran elektronik, aplikasi mudah alih SnapNPay, bagi membolehkan pelanggan menunaikan kewajiban zakat fitrah.
Dalam kenyataan hari ini, Bank Islam berkata kemudahan pembayaran tersebut melibatkan kerjasama rakan strategiknya, SnapNPay Digital Sdn Bhd dan 11 lembaga zakat negeri.
Ia berkata perkhidmatan ini terbuka kepada semua pengguna dan tidak terhad kepada pelanggan Bank Islam.
Melalui aplikasi ini, perdaftaran akaun atau butir peribadi pengguna tidak diperlukan sebaliknya, hanya melengkapkan alamat e-mel bagi menyempurnakan transaksi pembayaran, menurut bank itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata berikutan penularan wabak COVID-19 dan sempena Ramadan, pihaknya menawarkan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian bagi meminimumkan pergerakan orang awam dan mengelakkan kontak fizikal.
“Menerusi usaha memanfaatkan kepakaran teknologi SNPD, kewajiban pembayaran zakat fitrah ini dapat disempurnakan pada masa sebenar,” katanya.
Beliau berkata menerusi kaedah ini, Bank Islam menerapkan elemen teknologi kepada penyelesaian syariah seterusnya menyampaikan perkhidmatan yang memenuhi keperluan hari ini selari dengan aliran digital semasa.
— BERNAMA