Laporan/foto: Shameelawati Shaari/Rosnizam Kamis (Perlis)
ARAU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Bagi mengimarahkan lagi bulan puasa pada tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) telah mengadakan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
Menurut Pengarah PTSS Abdul Malek Hasan, 400 bekas bubur lambuk telah berjaya disediakan untuk diedarkan kepada para petugas barisan hadapan yang terbabit dalam penugasan sekatan jalan raya berhampiran PTSS dan juga kepada para pelajar yang terkandas.
“Penyediaan bubur lambuk ini melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PTSS dengan kerjasama beberapa orang kakitangan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS serta anggota RELA.
“Disebabkan bulan Ramadan tahun ini, kita masih berada dalam tempoh PKPB, oleh itu aktiviti memasak bubur lambuk ini dijalankan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya lagi.
Tambah beliau, gotong-royong memasak bubur lambuk ini bukan sahaja untuk meraikan bulan Ramadan tetapi ia juga untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus melawan pandemik COVID-19.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PTSS Rosnizam Kamis berkata program ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi membantu psikologi pelajar yang terkandas di kampus di mana ia secara tidak langsung dapat mengisi masa lapang para pelajar sementara menunggu waktu berbuka puasa.
“Ironinya, program ini bukan sahaja mewujudkan kemeriahan dan keberkatan Ramadan yang dikongsi bersama-sama bahkan ia juga turut memupuk sifat bersedekah.
“Suasana meriah dalam penyediaan bubur lambuk di dalam tempoh PKPB ini pasti menjadi kenangan kepada para pelajar,” ujarnya lagi.
Bubur lambuk ini turut diedarkan kepada kakitangan di Ibu Pejabat RELA yang berada di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Perlis.
-NI-