
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Sumber Manusia menggesa semua majikan dan warga pekerja membudayakan normal baharu sebagai amalan harian ketika berada di premis perniagaan atau di tempat kerja.
Gesaan ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dilaksanakan pada 12 Mei sehingga 9 Jun 2020 di mana pekerja perlu mematuhi segala langkah kawalan dan langkah pencegahan daripada jangkitan.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kemaman, Mohd Fadli Mohd Yusof, 50, pekerja perlu berubah dalam cara bekerja, berfikir, berinteraksi dan cara bertindak kerana kita berada dalam situasi semasa.
“Antara amalan normal baharu tersebut menuntut pembudayaan amalan baik seperti melakukan saringan dan merekod suhu badan pekerja, mengamalkan penjarakan sosial, menyediakan cecair pembasmi kuman, sarung tangan dan memakai pelitup muka semasa di tempat kerja serta menjaga kebersihan diri, termasuk menyediakan garis panduan kawalan kesihatan dan kawalan keselamatan di tempat kerja.
“Tahun-tahun sebelum ini kita hanya pakai pelitup muka bila ada jerebu sahaja, tetapi berlainan dengan tahun 2020 di mana kita dah dibiasakan untuk memakai pelitup muka dan disuruh cuci tangan dengan pensanitasi tangan atau sabun,” ujarnya.
Bagi Juruukur Daerah Kemaman, Abdul Fatah Ibrahim, 33, penjawat awam dan swasta perlu dibiasakan dengan normal baharu, sekaligus keluar daripada kebiasaan yang selama ini dilakukan.
“Kita berharap usaha dengan bekerja dalam suasana normal baharu ini akan menjadikan semua jabatan dapat mengekalkan prestasi dan produktiviti masing-masing,” katanya.
Bagi Juruaudio visual, Zoraimi Izan , 47, pula bekerja dengan normal baharu mendorong semua golongan pekerja sama ada swasta atau penjawat awam untuk mengubah cara bekerja dalam melaksanakan tuntutan tugas masing-masing.
“Normal baharu sebenarnya bukan sesuatu yang sukar untuk diamalkan,” katanya.
-ii-