
Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Dungun)/PDRM Dungun
DUNGUN, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Polis Daerah Dungun mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan masyarakat di daerah ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, tiada tangkapan dibuat berhubung kesalahan melanggar SOP semasa sambutan Aidilfitri yang lalu, namun pada malam semalam, hasil daripada rondaan pasukan pemantauan PKPB Polis Daerah Dungun, seramai 13 orang didapati tidak mematuhi dan ingkar PKPB.
“Seramai 13 orang yang melanggar PKPB telah dikenakan kompaun sebanyak RM1, 000 setiap seorang atas kesalahan melakukan aktiviti sukan yang tidak dibenarkan iaitu bermain badminton di dewan tertutup serta kesalahan makan minum di restoran yang jelas tidak mematuhi notis yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Dungun mengenai Jenis Perkhidmatan dan Waktu Kehadiran Pelanggan Dalam Tempoh PKPB yang telah berkuatkuasa pada 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020.
“Pihak kami akan terus menjalankan pemantauan dari masa ke masa. Orang ramai diingatkan supaya mematuhi SOP serta dilarang mengunjungi kawasan rekreasi, hutan simpan serta menjalani aktiviti yang dilarang semasa PKPB,” katanya.
Baharudin juga berharap agar masyarakat peka dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan agar penularan COVID-19 dapat diputuskan.
“Untuk rekod, pada ketika ini Daerah Dungun kembali menjadi Zon Hijau setelah mencatatkan bilangan kes tertinggi di negeri ini iaitu 38 kes,” katanya lagi.
-ii-