Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Bubur Lambuk untuk Komuniti Orang Asli Cameron Highlands

By 9 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Intan Saziana/Rose Rasidi (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands semalam berkongsi juadah bubur lambuk dengan penduduk Orang Asli di sini kerana terdapat komuniti Islam yang turut melaksanakan ibadah berpuasa.

Poster pencegahan COVID-19 turut diedarkan kepada Jawatankuasa Penduduk Kampung Kuala Boh.

Poster pencegahan COVID-19 turut diedarkan kepada Jawatankuasa Penduduk Kampung Kuala Boh.

“Bubur lambuk yang diberikan oleh Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands sangat unik dan merupakan satu budaya baharu bagi penduduk Kampung Orang Asli Kuala Boh.

“Sebelum ini, bila tiba bulan Ramadan kami hanya menyediakan juadah tradisi iaitu nasi dan lauk pauk dimasak dalam buluh yang dimasak secara gotong-royong, namun pada tahun ini kami dapat merasai dan mempelajari satu budaya baharu yang hanya ada pada bulan Ramadan,” ujar Tok Batin Kampung Kuala Boh, Masnan Nordin, yang ditemu bual ketika menjalankan aktiviti edaran bubur lambuk oleh Pejabat Penerangan, di sini, semalam.

Masnan yang baharu sahaja dilantik sebagai Tok Batin Kampung Kuala Boh turut sama mengedarkan bubur lambuk kepada komuniti setempat dalam skala kecil dan mematuhi penjarakan sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 yang sedang dilaksanakan.

Manakala, Pengerusi Komuniti Kampung Kuala Boh, Affandi Bah Panci, mewakili  komuniti Kampung Kuala Boh mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jabatan Penerangan kerana sudi berkongsi rezeki pada Ramadan kali ini.

“Edaran bubur lambuk kali ini amat bermakna buat kami semua dan saya berharap agar aktiviti komuniti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Kami juga memuji cara program ini dilaksanakan apabila bukan sekadar mengedarkan bubur lambuk yang sangat unik dan baharu pada kami, tazkirah Ramadan juga turut dilaksanakan. Alhamdulillah, info keagamaan juga dapat kami terima ketika musim berpuasa ini, sekurang-kurangnya dapat mendidik kami secara rohani dalam mengamalkan ajaran Islam,” ujarnya.

-KN

Tinggalkan komen anda