Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Johor Sedia Laksana PKPB – MB Johor

By 6 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shah Hood/MedKom (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Malaysiaaktif) –  Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana yang telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  baharu-baharu ini, dengan kawalan yang ketat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat kekal dalam keadaan baik.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad, kerajaan negeri akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan pergerakan rakyat dalam keadaan yang terkawal.

“Dalam memastikan PKPB di negeri ini berjalan lancar, kerajaan negeri turut mengambil beberapa langkah alternatif untuk memastikan keselamatan rakyat Johor terus diberi keutamaan di samping membuka peluang bagi sektor ekonomi beroperasi kembali,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Tambah beliau, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi kebenaran untuk membuat pengubahsuaian SOP jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian berdasarkan keupayaan mereka.

“Tumpuan terhadap penguatkuasaan SOP bagi sektor ekonomi akan dilaksanakan berdasarkan kemampuan setiap PBT di negeri ini.

“Sekiranya sesuatu SOP itu berkehendakkan pengubahsuaian, maka pihak kerajaan memberi kuasa untuk PBT berbuat demikian,” ujarnya.

Hasni turut menegaskan, tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Justeru itu, rakyat dinasihati agar sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan bagi tujuan keselamatan dan mengamalkan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan bagi membendung penularan wabak COVID-19,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang membangunkan dan akan melancarkan satu aplikasi yang dikenali sebagai ‘Jejak Johor’ bagi tujuan pemantauan situasi dan perkembangan pelaksanaan PKPB yang akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

-NI-

Tinggalkan komen anda