Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KPDNHEP Kutip Kompaun RM120,000, Peniaga Tidak Patuh Skim Kawalan Harga

By 30 Mei 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM120,000 kompaun dikutip Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara dalam penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula dari 20 Mei lepas sehingga semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDNHEP, Dr Alauddin Sidal berkata kompaun berkenaan melibatkan 50 kes pelbagai kesalahan membabitkan pemborong dan peruncit.

“Sebanyak 15 peruncit dan dua pemborong dikompaun kerana meletakkan harga melebihi harga maksimum dan rata-rata mereka memberi alasan membeli bekalan daripada pembekal pada harga yang mahal.

Sebanyak 33 peruncit pula dikenakan kompaun kerana gagal meletakkan tanda harga,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pasar Awam Tanjong Karang, hari ini.

Katanya lagi, Johor merekodkan jumlah kesalahan paling tinggi iaitu15 kes diikuti oleh Pahang (13 kes) Kuala Lumpur (10 kes) dan Kedah (tujuh kes).

Kata Alauddin, bagi tempoh berkenaan juga sebanyak 18,825 premis perniagaan diperiksa penguat kuasa  KPDNHEP di seluruh negara bagi memastikan tiada peniaga atau pemborong cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan sesuka hati.

Katanya, KPDNHEP turut memberi jaminan bahawa bekalan barangan makanan dan keperluan sentiasa mencukupi sepanjang musim perayaan ini dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini kerana katanya, KPDNHEP sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan adalah mencukupi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda