
Laporan/foto – Luqman Hakim (Petaling)/MBSA
SHAH ALAM, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah merobohkan struktur khemah milik syarikat tekstil terkemuka, Jakel yang dibina tanpa kebenaran di Seksyen 7, Shah Alam.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata pihaknya telah mengeluarkan empat notis amaran kesalahan kepada syarikat berkenaan kerana gagal mematuhi arahan MBSA sejak tahun 2015.
“Pihak MBSA telah mengeluarkan notis dibawah Seksyen 70(1) pada 2 Mac 2020, memaklumkan bahawa khemah yang dibina diatas lot berkenaan tidak mendapat kelulusan bertulis dan mengarahkan syarikat berkenaan untuk merobohkan struktur khemah tersebut serta merta.
“Disebabkan syarikat tersebut gagal mematuhi notis seperti yang diarahkan, pada 5 Mac 2020 MBSA telah mengeluarkan satu lagi notis dibawah Seksyen 72(6) Akta 133 yang mengarahkan pihak berkenaan mengosongkan struktur khemah tersebut dalam tempoh masa 30 hari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

MBSA merobohkan Struktur binaan milik syarikat Jakel yang dibina tanpa kebenaran di Seksyen 7, Shah Alam
Bagaimana pun, menurut Shahrin, pihak MBSA telah menangguhkan operasi meroboh yang sepatutnya dijalankan pada 5 April 2020, sebulan selepas tempoh notis dikeluarkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat tersebut telah mempamerkan iklan perniagaan tanpa kebenaran pihak MBSA dan semakan juga mendapati syarikat itu tidak mempunyai lesen perniagaan untuk beroperasi di tapak tersebut.
“Satu operasi perobohan telah dilakukan pihak MBSA pada 13 Mei 2020 melibatkan 95 kakitangan daripada pelbagai jabatan dalaman MBSA serta dibantu pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujar beliau.
Katanya, MBSA memberi amaran kepada semua pihak terutama pemilik premis perniagaan agar sentiasa mematuhi syarat dan peraturan serta tidak mendirikan sebarang struktur binaan tanpa kebenaran dan kelulusan pihaknya.
-NAZ