Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Polis Tahan Lapan Individu Bersabit Kes Dera Kanak-kanak

By 14 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PDRM

SELAYANG, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Pihak polis telah menahan lapan individu termasuk tiga wanita untuk membantu siasatan berhubung kes penderaan kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan di Taman Bidara, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis telah mengambil keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Manakala bagi kes pencerobohan dan ugutan yang dilaporkan oleh pihak pemilik rumah kebajikan itu, kertas siasatan berasingan telah dilengkapkan dan empat suspek telah ditangkap.

“Suspek ini yang  berumur antara 20 hingga 39 tahun akan dituduh di Mahkamah Selayang esok (15 Mei) di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 KK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Arifai dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya telah menerima laporan daripada wanita berusia 36 tahun yang memaklumkan telah terima panggilan telefon daripada orang ramai berikutan videonya yang tersebar di media sosial.

“Wanita itu merakam video tersebut untuk ditunjukkan kepada ibu bapa kanak-kanak dan juga dihantar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Beliau (wanita) dikatakan pernah tinggal di rumah kebajikan itu selama dua minggu dan mendakwa ada kanak-kanak itu dipaksa membuat sampul duit raya serta diliwat,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda