Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

39 Individu Ingkar PKPP Ditahan

By 30 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 39 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP, daripada jumlah ini, tiga individu telah direman manakala 36 lagi telah dikompaun.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti pub atau kelab malam, aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP.

“Pasukan Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat sebanyak lebih 67 ribu pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 3,479 Pasukan Pematuhan yang melibatkan lebih 15 ribu anggota telah membuat pemantauan di lebih empat ribu pasar raya, restoran, penjaja, kilang, bank serta di pejabat kerajaan.

“Pemantauan oleh pasukan petugas turut melibatkan 1,167 terminal pengangkutan darat, 258 terminal pengangkutan air serta 155 terminal pengangkutan udara telah dipantau,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Ismail turut menjelaskan bahawa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah membuat keputusan untuk membuka Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis dan Durian Burung, Kedah bagi kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja.

“Agensi-agensi yang terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan ini untuk tindakan seterusnya.

“Mesyuarat Khas juga telah bersetuju bagi rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia, mereka tidak perlu lagi memohon permit MyPass dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia,” katanya.

Tinggalkan komen anda