Laporan/foto: Noraidah Mat Seh / Mastika Hablum (Melaka)
MELAKA, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Program Jelajah Agropreneur Muda Negeri Melaka telah diadakan hujung minggu lepas dengan memfokuskan pembabitan golongan belia memceburi bidang perniagaan.
Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali dalam ucapan berkata pada hari ini kita semua mendapat barang keperluan harian adalah hasil daripada penternak, peladang dan nelayan. Mereka ini merupakan golongan yang banyak memberi jasa kepada kita bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
“Kerajaan menwujudkan program khusus yang bermanfaat bagi menggalakkan golongan muda terlibat dalam sektor pertanian iaitu Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
“Program ini dapat membantu anak-anak muda dari segi access to capital atau bantuan kewangan dan khidmat nasihat teknikal pertanian. Justeru, saya ingin menyeru kepada anak- anak muda di Melaka untuk mengambil peluang ini dan melibatkan diri dalam sektor pertanian dan makanan,” ujar Sulaiman.
“Selain itu, negeri Melaka mempunyai banyak tanah pertanian di kawasan luar bandar untuk diusahakan. Melalui statistik data Jabatan Pertanian, Melaka mempunyai 1,915 lot tanah terbiar yang sesuai untuk pertanian dengan keluasan 2,332 hektar.
“Oleh itu, dengan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kita pasti dapat merancang dan mengusahakan satu kerjasama untuk kemajuan sektor pertanian. Ini sudah pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Melaka khususnya,” katanya lagi.
Dalam program ini para peserta diberikan Mock Cheque Geran Agropreneur Muda bagi kelulusan Fasa 1/ 2020 selain penyampaian bantuan kit makanan agropreneur muda serta penyerahan borang Unit Agroprenuer Muda (UAM) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka.
-KN