
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JBPM
GOMBAK, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Dua orang lelaki meninggal dunia setelah kenderaan yang dinaiki mangsa terbabas lalu terbakar di Kilometer 26.7 Lebuhraya Karak menghala Tol Gombak, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kedua-dua mangsa tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan serius.
“Kejadian dipercayai berlaku lebih kurang jam 1.20 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Fairlady yang dinaiki dua orang lelaki berusia 23 dan 29 tahun.

Keadaan kereta Nissan Failady yang terbakar selepas terbabas di Lebuhraya Karak mengakibatkan dua penumpang meninggal dunia.
“Hasil siasatan awal, kemalangan berlaku semasa kereta yang dipandu dari arah Genting menghala Tol Gombak telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri di bahagian kiri jalan sebelum terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arifai berkata pemandu kereta tersebut telah tercampak keluar manakala penumpangnya telah rentung akibat tersepit di dalam kenderaan itu.
“Kereta yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan pada seluruh bahagian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
”Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Inspektor Mohd Shaifuddin daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” katanya.
-NAZ