Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Norma Baharu Pasar Giliran Kuala Berang

By 18 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Hari giliran pasar minggu yang lebih dikenali Pekan Rabu Kuala Berang yang mula beroperasi semalam kembali membuka peluang perniagaan kepada peniaga, petani dan pekebun kecil daerah Hulu Terengganu memasarkan barangan masing-masing.

Pasar Giliran terpaksa ditutup lebih tiga bulan lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh pihak Kerajaan ekoran penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak telah memberi kesan ke atas pendapatan golongan petani dan peniaga kecil di sekitar Hulu Terengganu.

Bagi penjual, Minah Deraman, 54, pembukaan semula Pekan Rabu Kuala Berang membolehkan beliau menjana pendapatan dengan menjual sendiri sayur-sayuran yang ditanamnya walaupun kehadiran pengunjung tidak ramai.

Minah Deraman, 54, antara peniaga di Pasar Giliran, Kuala Berang.

Minah Deraman, 54, antara peniaga di Pasar Giliran, Kuala Berang.

“Sebelum penutupan Pekan Rabu kerana PKP, pasar ini memang menjadi tumpuan orang ramai mencari barangan keperluan harian. Walaupun pengunjung tak ramai, tetapi jualan agak memuaskan dan sedikit sebanyak boleh membantu menambah pendapatan saya,” katanya.

Bagi mengekang penularan COVID-19, pihak Majlis Daerah Hulu Terengganu telah menetapkan jarak dua meter antara setiap gerai jualan, selain dari memagar seluruh kawasan pasar.

Pemeriksaan suhu badan di pintu masuk.

Pemeriksaan suhu badan di pintu masuk.

Setiap pengunjung juga hanya dibenarkan masuk melalui pintu yang dibenarkan selepas saringan suhu di setiap pintu masuk dan pihak berkuasa tempatan telah menetapkan pergerakan sehala dari pintu masuk ke pintu keluar.

-ii-

Tinggalkan komen anda