Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Tanah Lebih Murah untuk Pemaju Bina Rumah

By 18 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Terengganu menawarkan harga tanah yang lebih murah kepada pemaju yang ingin memajukan tanah dengan mendirikan rumah kediaman untuk rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Alias Razak, berkata harga premium tanah milik kerajaan ialah sepuluh peratus daripada nilai tanah. Walau bagaimanapun, bagi tujuan pembinaan rumah, kerajaan negeri hanya menetapkan harga sebanyak RM1,000 bagi setiap lot rumah mampu milik yang berharga RM80,000.

“Dengan harga tanah yang lebih murah, ianya membolehkan pemaju menjual rumah yang siap dibina dengan harga yang mampu dibeli oleh rakyat, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan golongan B40,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Kawasan Dendong Mukim Tembila Daerah Besut antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Wanland Metro Sdn. Bhd di Wisma Darul Iman semalam.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri (tengah,belakang) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Kawasan Dendong Mukim Tembila Daerah Besut antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Wanland Metro Sdn.Bhd di Wisma Darul Iman.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri (tengah,belakang) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Kawasan Dendong Mukim Tembila Daerah Besut antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Wanland Metro Sdn.Bhd di Wisma Darul Iman.

Kerajaan negeri diwakili oleh Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman manakala Wanland Metro Sdn.Bhd diwakili oleh pengarah urusan syarikat itu, Rosnizar Abdul Majid dan pengarah projek, Mohd Hairiezan Rasli.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Alias, projek yang telah bermula awal Mac lalu dimajukan oleh syarikat itu membabitkan kawasan seluas 60 ekar di atas tanah milik kerajaan negeri di Mukim Tembila, Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Alias Razak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Alias Razak.

“Kawasan itu akan menempatkan 200 unit rumah teres satu tingkat mampu milik jenis A, 152 unit rumah teres satu tingkat mampu milik jenis B, 237 unit rumah teres dua tingkat jenis C dan 300 unit rumah pangsapuri lima tingkat.

“Selain itu, terdapat juga 18 unit rumah kedai dua tingkat, medan selera, surau, tadika dan dewan serbaguna,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) melihat pelan projek perumahan.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) melihat pelan projek perumahan.

Alias turut menambah, unit rumah kediaman akan dijual kepada orang ramai dengan harga antara RM80, 000 dan RM310, 000 seunit bergantung kepada jenis rumah yang dipilih oleh pembeli.

“Harga mampu milik yang ditawarkan itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri sebagai amanah menjaga kebajikan rakyat bagi memastikan rakyat negeri ini mampu memiliki rumah sendiri,” tambahnya.

-ii-

Tinggalkan komen anda