Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Soto Makasar Labuan Rentasi Laut China Selatan

By 16 Jun 2020Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Soto merupakan salah satu juadah yang cukup popular bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh nusantara.

Bagi penduduk Labuan, soto makasar adalah satu jenis soto yang tidak asing lagi malah sering menjadi menu utama pada majlis-majlis keramaian selain menjadi pilihan warga tempatan mengalas perut sebelum bekerja di pagi hari.

Kini soto makasar Labuan bukan sahaja menjadi kegemaran warga tempatan tetapi sudah  menjadi buruan peminatnya yang datang dari luar pulau bebas cukai itu.

Seorang peniaga soto makasar, Lindawati Lani, 36, pengalaman dengan seorang pelanggan yang merupakan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggalkan kesan kepada dirinya.

Resepi soto makasar yang diusahakan ini dibawa oleh ibu yang berhijrah dari Surabaya, Indonesia ke Labuan sekitar tahun 1975 - Lindawati.

Resepi soto makasar yang diusahakan ini dibawa oleh ibu yang berhijrah dari Surabaya, Indonesia ke Labuan sekitar tahun 1975 – Lindawati.

“Pernah seorang juruterbang yang kebetulan melakukan penerbangan ke Labuan, singgah ke sini dan pasti membawa pulang soto makasar ke semenanjung dan lebih manis dia juga pernah membawa pulang sebungkus soto makasar untuk isterinya yang sedang mengidam ketika itu.

“Selain itu, ada pelanggan yang berulang alik dari Negara Brunei Darussalam semata-mata untuk membawa pulang puluhan bungkusan soto makasar,” katanya yang sudah menjual soto makasar bersama keluarga lebih sepuluh tahun.

Menurut Lindawati, mereka juga kerap menerima tempahan soto makasar yang siap dimasak mahupun dalam bentuk pes daripada pekerja sektor minyak dan gas yang akan membawa pulang ke semenanjung atau ke kapal-kapal mereka selain sering menerima tempahan untuk majlis-majlis keramaian.

“Kami pernah dimaklumkan oleh pelanggan yang berasal dari Indonesia, soto makasar kami mempunyai rasa asli seperti di tempat asal mereka malah pernah seorang pelanggan yang sudah berpindah dari Labuan menyatakan rasa soto mereka masih sama seperti yang pernah dinikmatinya empat tahun lalu,” jelasnya yang ditemui baru-baru ini.

Perahan limau nipis akan menambah aroma sup soto makasar yang pekat.

Perahan limau nipis akan menambah aroma sup soto makasar yang pekat.

Mereka yang memulakan perniagaan seawal pukul 7.30 pagi mampu menghabiskan 15 paket mihun menjelang 11.00 pagi dan antara menu kegemaran yang sering menjadi pilihan ramai adalah soto makasar istimewa yang ditambah bebola daging.

“Soto makasar dihidang bersama mihun atau nasi impit dan boleh dimakan bersama isi ayam, daging lembu, urat daging lembu, perut lembu, bebola daging atau telur dan akhir sekali semestinya bersama kuah sup pekat yang dimasak bersama kacang yang dikisar.

“Kami sering menerima permintaan dari semenanjung antaranya Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Terengganu tetapi kami mempunyai kekangan dari aspek penghantaran oleh itu kami bercadang untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar Soto Makasar kami boleh dihantar ke mana sahaja dalam bentuk yang siap dimasak atau pun pes,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penggemar soto makasar Radha Humaidi, 27, turut berkongsi mengenai kelebihan rasa soto makasar.

Radha salah seorang pengemar soto makasar di sini.

Radha salah seorang pengemar soto makasar di sini.

“Saya suka makan soto makasar daging dan kita boleh rasa kacang asli dalam sup ditambah dengan sambal yang begitu kena dengan selera menyebabkan saya sudah menikmati soto makasar empat kali sejak dua minggu lalu,” katanya.

Bagi Fitri Kamil, 28, bebola daging sentiasa menjadi kemestian jika ingin menikmati soto makasar.

“Campuran yang ada dalam soto makasar terutama bebola daging memang membangkitkan selera ditambah pula perahan limau nipis akan menambah aroma sup soto makasar yang pekat,” kongsinya.

Shahrul Nizam, 20, pula suka menikmati soto makasar bersama nasi impit bersama daging.

“Minggu ini sahaja sudah tiga kali saya makan soto makasar, kuahnya yang pekat dan sambal yang tidak terlalu pedas memang sangat serasi membuatkan soto makasar menu pilihan saya apabila datang ke sini,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda