
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
IPOH, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) kini memberi kelonggaran kepada pasangan yang ingin berkahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menghadiri temuduga khas bagi menggantikan Kursus Pra Perkahwinan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak Mohd Akmal Kamarudin, berkata pelaksanaan kaedah ini akan mula berkuatkuasa esok (3 Jun 2020) dan akan terbatal dengan sendirinya apabila tamat tempoh PKP.
“Walaubagaimanapun, JAIPk akan mengambil beberapa pendekatan lain seperti ujian kefahaman dalam talian selepas berakhirnya tempoh PKP.
“Kursus pra-perkahwinan secara bersepadu akan disemak semula pelaksanaannya pasca COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Mohd Akmal, arahan pelaksanaan tatacara temuduga khas ini antara lain mestilah dilakukan di dalam sebuah bilik khas di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan hendaklah mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.
“Perkhidmatan sesi temuduga ini adalah percuma namun pemohon hanya perlu membayar RM5 secara tunai bagi tujuan mengeluarkan Sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam.
“Maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan tatacara temuduga khas ini boleh dirujuk melalui laman facebook rasmi Jabatan Agama Islam Perak,” katanya lagi.
-SH