
Foto: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
PUTRAJAYA, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 6,005 agropreneur muda di seluruh negara telah menerima Geran Agroprenur Muda (GAM) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) sejak 2016 hingga Mei lalu, yang bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan itu dalam sektor agromakanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata geran yang diperuntuk berjumlah RM104.35 juta itu merangkumi sektor tanaman, perikanan, ternakan dan industri makanan.
Beliau berkata bagi tempoh sama, seramai 52 agropreneur muda telah menerima kelulusan pembiayaan Program Agropreneur Muda (PAM) melibatkan peruntukan sebanyak RM3.3 juta.
Katanya secara keseluruhan, seramai 6,057 agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan bagi pembiayaan PAM berjumlah RM107.65 juta bagi tempoh sama.
“Saya ingin menyeru semua generasi muda di seluruh negara untuk mengambil peluang yang diberi kerajaan dalam bentuk bantuan agropreneur untuk meningkatkan taraf kerja mereka dalam pertanian mereka.
“Ini merupakan bantuan besar yang diberikan kerajaan dalam program Agropreneur Muda yang dijalankan sejak 2016, yang menyaksikan lebih 6,005 agropreneur muda seluruh negara menerima kelulusan geran dan ingin saya nyatakan bidang pertanian ini adalah sumber kekayaan baharu yang dapat membantu mengubah kehidupan anak muda,” katanya selepas merasmikan Jelajah Agropreneur Muda Johor semalam.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah LPNM Ruhaida Mashhor.
Che Abdullah juga berkata seramai 365 agropreneur muda di Johor telah menerima kelulusan GAM berjumlah RM6.6 juta sejak 2016 hingga Mei ini.
“Untuk tahun 2020, kelulusan GAM Fasa 1 melibatkan 238 penerima dengan jumlah RM4.01 juta di seluruh negara.
“Bagi negeri Johor untuk Fasa 1 tahun ini, seramai 31 agropreneur muda telah diluluskan geran berjumlah RM586,000,” katanya.
— BERNAMA