
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Alor Setar)
ALOR SETAR, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Hari pertama persekolahan semalam menyaksikan pelajar hadir seawal pagi selepas 70 hari tidak ke sekolah dengan sesi persekolahan yang bermula ini membabitkan murid Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 6 Semester 1, kelas peralihan serta tingkatan 1 hingga 4.
Hasil tinjauan Malaysiaaktif ke Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, Alor Setar menunjukkan pihak sekolah tersebut telah mematuhi semua pelaksanaan norma-norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Guru Besar SK Convent Alor Setar Zuraimi Mansor, berkata pihak sekolah membuat persediaan daripada semua aspek dan memutuskan untuk memilih Model 1 Sesi iaitu sesi persekolahan berjalan seperti biasa pada waktu pagi.
“Semua murid yang hadir akan ditempatkan di dalam kelas mengikut pelaksanaan norma-norma baharu seperti membuat penjarakkan 1 meter untuk pelajar dan semua waris juga turut dimaklumkan tentang SOP yang dibuat oleh pihak sekolah.
“Saringan suhu badan turut dibuat di pintu masuk pagar sekolah ini dan ibu bapa juga turut memberi kerjasama yang amat baik dalam mematuhi apa yang pihak sekolah rancangkan,” katanya yang ditemui, di sini semalam.

Setiap pelajar yang hadir akan disemak suhu badan masing-masing bagi memastikan pelajar yang tidak sihat tidak ke sekolah dan terus mandapatkan rawatan.
Rata–rata pelajar yang ditemui melahirkan rasa teruja dapat kembali ke sekolah bersama kawan-kawan.
Pelajar Tahun 5 sekolah berkenaan, Divia Ravi, berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dirinya hanya tinggal di rumah dan tidak dapat bertemu dengan rakan-rakan untuk tempoh masa yang lama dan menimbulkan rasa rindu terhadap rakan sekolah.
“Hari pertama persekolahan saya berasa sangat gembira kerana dapat berjumpa bersama kawan-kawan yang lain setelah hampir 70 hari tidak berjumpa mereka,” katanya.
Seorang lagi pelajar sekolah tersebut, Nur Alya Humaira, 11, berkata setiap tugas yang diberikan guru menerusi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian diambil serius.
“Semasa PKP, setiap pagi saya akan memulakan tugas menyiapkan kerja sekolah yang telah diberikan oleh cikgu saya, jika hari yang tiada kerja sekolah saya akan membuat aktiviti melukis mahupun membantu ibu saya mengemas rumah,” katanya.
-SH