
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/MITI
KUALA LUMPUR, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Beberapa kesepakatan telah dicapai dan dipersetujui secara kolektif daripada anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam Persidangan Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT) yang diadakan semalam.
Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, negara telah mengemukakan tiga cadangan pada mesyuarat VMRT hari ini.
Cadangan tersebut merangkumi usaha penambahbaikan dalam membabitkan pelaburan perdagangan menyaksikan Malaysia tidak bergantung semata-mata kepada keluaran dalam negara kasar sebagai petunjuk, namun mahu beberapa indikator lain yang menunjukkan kemakmuran negara diperkenalkan.
“Kita juga telah meneraju falsafah kemakmuran bersama untuk semua anggota ekonomi APEC dan ini telah diterima baik dalam suasana yang kita hadapi sekarang ini.
“Cadangan kedua pula menyentuh mengenai penyertaan dalam ekonomi digital untuk golongan sasar mahir dalam menggunakan teknologi, dan ketiga menekankan inovatif yang mampan. Ini adalah cadangan yang diterajui Malaysia namun kita tidak dapat melaksanakan sepenuhnya pada tahun ini disebabkan persekitaran COVID-19 tetapi ia akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya ketika sidang media VMRT, di sini semalam.
Dalam pada itu, Azmin turut mengulas mesyuarat maya diadakan pada sesi khas Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) yang diadakan minggu lalu berkaitan Visi Pasca 2020.
“Seperti Matlamat Bogor, ekonomi APEC menjangka tuan rumah berikutnya, iaitu New Zealand dan Thailand, akan memberikan lebih banyak hala tuju untuk pelaksanaan visi itu dengan merangka pelan tindakan dan strategi hingga siap sepenuhnya mengikut tempoh yang ditetapkan dan pemimpin APEC akan meneliti Visi Pasca 2020 pada Disember nanti.
Menurut kalendar APEC 2020, pegawai-pegawai kanan akan mengadakan pertemuan sebanyak empat kali lagi sebelum mengemukakan Visi Pasca 2020 kepada Menteri-Menteri APEC, yang akan dilancarkan pada Disember ini.