Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Derma Darah Peringkat Daerah Bandar Baharu; 85 Beg Darah Berjaya Diperolehi

By 13 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nor Asikin Haria (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak 85 beg darah berjaya diperolehi dalam Program Derma Darah Peringkat Daerah Bandar Baharu dengan seramai 121 orang sudi menjadi penderma.

Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu merangkap Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohamad Subhi Abdullah, berkata program ini julung kali diadakan bagi peringkat daerah ini dan ianya merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Majlis Daerah Bandar Baharu bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia  (PUSPANITA) Bandar Baharu dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Kulim serta Pejabat Kesihatan Daerah Bandar Baharu.

“Menderma darah dapat menyelamatkan nyawa dan yang tersirat ialah menderma darah merupakan suatu pengorbanan dalam diri.

“Jasa dan pengorbanan mereka yang menderma darah amatlah dihargai kerana berupaya menyelamatkan nyawa manusia dan mereka yang menderma darah adalah merupakan wira Negara,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini baru-baru ini.

Sebahagian daripada orang ramai yang hadir menjayakan program ini.

Sebahagian daripada orang ramai yang hadir menjayakan program ini.

Pegawai Perubatan Unit Transfusi Darah Hospital Kulim Dr. Haryani Abdul Harith, berkata hanya segelintir sahaja daripada rakyat negaraa ini yang menjadi penderma darah.

“Hanya 2.5% rakyat Malaysia yang melakukan tanggungjawab sosial menderma darah sedangkan keperluan darah adalah sentiasa diperlukan untuk merawat pesakit serta darah juga merupakan rawatan asas yang masih belum ada pengganti sehingga kini.

“Darah yang didermakan bagi setiap beg darah akan diproses dan dibahagikan kepada tiga komponen iaitu darah merah, platlet dan plasma yang akan digunakan oleh pesakit-pesakit yang memerlukan.

“Antara syarat kelayakan untuk menderma darah ialah seseorang itu mesti sihat tubuh badan, berumur lingkungan 18 hingga 70 tahun bagi penderma darah tetap dan berumur 18 hingga 60 tahun bagi penderma kali pertama, berat badan melebihi 45kg, tidur minimum lima jam, dan telah mengambil makanan terakhir tidak lebih 4 jam sebelum menderma darah,” ujarnya ketika sesi taklimat derma darah yang disampaikan.

Samsul Mat Arif, telah lebih 20 kali menderma darah.

Samsul Mat Arif, telah lebih 20 kali menderma darah.

Salah seorang penderma darah, Samsul Mat Arif, 46, berkata amalan menderma darah membuatkan badannya berasa lebih sihat dan telah menderma darah lebih 20 kali.

“Sebagai penderma darah tetap, saya menderma darah dengan pergi ke hospital yang berhampiran iaitu Hospital Kulim dan Hospital Parit Buntar serta juga menderma darah di lokasi tempat awam yang diadakan oleh pihak hospital.

“Saya terpanggil untuk menderma darah sejak berusia 20 tahun yang lalu yang mana pada ketika itu saya mengikuti aktiviti sukarelawan di Hospital Kulim, kerana apabila menderma darah saya berasa lebih tenang dan seronok kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan,” katanya.

Selain daripada aktiviti menderma darah, turut diadakan saringan pap smear dan pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti pameran oleh pelbagai jabatan dan agensi tempatan.

-SH

Tinggalkan komen anda