
Foto: Infografik MyCensus2020
PUTRAJAYA, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Fasa pertama pelaksanaan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), secara dalam talian atau e-Census bermula Selasa ini sehingga 30 Sept, bersifat mesra teknologi dan bertepatan dengan keadaan semasa negara yang masih berdepan dengan ancaman COVID-19.
Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kira-kira tiga juta isi rumah dipilih bagi mengisi bancian melalui e-Census, merangkumi mereka yang tinggal di kawasan ketersambungan tinggi dan mempunyai capaian internet, memandangkan kemudahan itu penting bagi mengisi maklumat.
“Banci dilakukan setiap 10 tahun jadi pastinya elemen yang berbeza daripada tahun 2010 ialah tahap literasi dan juga kesediaan rakyat Malaysia hendak menerima kaedah e-Census ini.
“Kawasan luar bandar kita akan fokus pada bulan Oktober nanti (fasa kedua secara bersemuka). Sebab itu kita tak boleh jalankan e-Census sepenuhnya.
“Ia tertumpu kepada kawasan yang ketersambungan tinggi seperti bandar dan luar bandar yang ada kemudahan internet,” katanya yang menjelaskan persediaan Banci 2020 termasuk e-Census sudah bermula seawal 2017 lagi.
Beliau berkata demikian dalam temu bual di pejabatnya di Jabatan Perangkaan Malaysia di sini baru-baru ini sempena Hari Banci Malaysia yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan berkata setelah mendapat kelulusan kerajaan pada 2017 bagi melaksanakan Banci 2020 dan memenuhi Akta Banci 1960 (disemak 1969), penyenaraian dan gerak kerja oleh anggota Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilakukan di setiap negeri bagi mengemas kini senarai rumah di seluruh Malaysia, termasuk kawasan kediaman baharu.
Katanya, hasil daripada gerak kerja itu, sejumlah sembilan juta kediaman disenaraikan, termasuk tiga juta isi rumah yang akan mengisi maklumat bancian menerusi kaedah e-Census.
“Mereka (anggota DOSM) akan kemas kini atau dalam bahasa statistik dipanggil ‘listing’. Dan kita lihat juga kawasan perumahan baharu, sama ada akan siap pada 2020, tidak kira sama ada perumahan itu diduduki atau tidak.
“Jadi (untuk) perhubungan kita telah berjaya menyenaraikan lebih kurang sembilan juta rumah yang ada di Malaysia ini. Kita dah selesai, jadi bila kita laksanakan e-Census, senarai semua rumah itu sudah ada dalam sistem,” katanya.
— BERNAMA