Laporan/foto: Mohd Muhaimin Amran
MELAKA, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Seorang anak muda di sini memilih bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama dan merasakan bidang ini mampu menjadikannya seorang petani moden yang berbudi kepada tanah milik keluarganya.
Istilah tidak takut berjemur dan berpanas telah menjadi inspirasi buat Muhammad Sharifudin Murat, 23, untuk mengusahakan sebanyak 40 ribu pokok Nanas MD2 di ladang seluas empat ekar bertempat di Kampung Chinchin Hulu Jasin.
Katanya, “singkatan ‘MD’ ini adalah ‘Millie Dilarch’ yang merupakan hasil kajian yang dijalankan di Institut Penyelidikan di Hawai sekitar tahun 1980-an.
“Penyelidikan yang melibatkan beberapa syarikat nanas terkemuka dunia seperti Del Monte, Dole dan Maule Land dan Pineapple Company telah berjaya memperkenalkan Nanas MD2 yang menjadi pilihan penggemar Nanas kerana rasanya yang manis,” ujarnya.
Beliau yang juga pemilik Syarikat Ananas Agro Farm yang turut menerima Geran Agropreneur Muda ini, menasihatkan agar semua anak muda mengambil peluang terbaik melalui pelbagai insentif kerajaan agar dapat memajukan diri selain dapat memberi pulangan pendapatan yang lumayan.
Hasil kejayaannya juga turut menarik perhatian Timbalan Speaker Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad turut bersama meraikan kejayaan serta memberi suntikan semangat kepadanya.
-KN