
Laporan/foto: Salwati Md Zam (Melaka)/Jabatan Mufti Negeri Melaka
MELAKA, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Program Mufti Bersama Ummah anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka bertempat di Masjid Al-Ridwan Kampung Bukit Nibong, Paya Dalam telah diadakan baru-baru ini bersempena fenomena Istiwa Azam ketika matahari berada tepat pada titik zenith (ghayah) sesuatu tempat ketika ia melintasi meridian tempat berkenaan.
Menurut Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil, ketika Matahari Istiwa di atas Kaabah, bayang-bayang objek di mana-mana tempat di bumi yang menerima cahaya matahari boleh menjadi panduan arah kiblat.
“Ini disebabkan pada ketika itu bayang-bayang objek yang tegak akan menghala ke arah Kaabah, dan jabatan melalui Bahagian Falak Syari’e mengambil kesempatan daripada peristiwa ini untuk menerangkan kepada orang awam kaedah mengukur arah kiblat ketika terjadinya fenomena tersebut.
“Dengan berlakunya peristiwa ini, umat Islam berpeluang untuk melakukan semakan arah kiblat berpandukan bayang-bayang objek di sekitar tempat solat sama ada di surau, rumah ataupun pejabat,” katanya.
Program diteruskan dengan forum bual bicara Mufti Bersama Ummah dengan menampilkan Abdul Halim Tawil dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, Dr. Mohd Nazli Omar dengan topik perbincangan bertajuk ‘Indahnya Islam Dalam Memelihara Kemaslahatan Ummah’.
Abdul Halim turut menyantuni penduduk yang kurang bernasib baik dengan menyalurkan bantuan saguhati kepada penduduk di sekitar Kampung Bukit Nobong.
-KN