Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sabah Tuan Rumah HPPNK 2025 Selepas 30 Tahun

By 7 Julai 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ag Ku Marzuki Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Sabah bakal menjadi tuan rumah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, selepas 30 tahun kali terakhir penganjurannya diadakan di negeri itu pada tahun 1995.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pemilihan itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 penganjuran HPPNK yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Arthur ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Program Road to HPPNK 2025 di Tawau.

“Edisi kali ini membawa tema ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’, yang menekankan peranan penting golongan peladang, penternak dan nelayan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara,” katanya ketika merasmikan Program Road to HPPNK 2025 di pekarangan Majlis Perbandaran Tawau, di sini Sabtu lalu.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah dalam memperkasa sektor agromakanan negeri menerusi dasar strategik, pembangunan infrastruktur luar bandar dan sokongan berterusan kepada golongan sasar.

Arthur melawat reruai pameran yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

“Sebanyak RM86.66 juta diperuntukkan kepada Sabah bagi tahun 2025 melibatkan 42 projek pembangunan dalam sektor pertanian, perikanan dan ternakan,” ujarnya.

Dalam program sama, beliau turut menyempurnakan majlis pelepasan Konvoi Bermotosikal HPPNK 2025 yang disertai 30 peserta terdiri daripada kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah, kumpulan belia nelayan serta ahli persatuan nelayan negeri.

Dif jemputan turut bersama mempromosikan HPPNK 2025 yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Ogos ini.

Konvoi itu akan menjelajah 18 daerah termasuk Sook, Sandakan, Pensiangan, Keningau dan Papar sebelum berakhir di Kota Kinabalu sempena pelancaran rasmi HPPNK 2025 pada 1 Ogos.

Program dua hari Road to HPPNK 2025 menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung dengan anggaran nilai jualan mencecah RM100,000.

Pelbagai pengisian turut diadakan termasuk jualan Agro MADANI, pameran teknologi serta hasil pertanian dan perikanan tempatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda