
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Ibu bapa yang ditemui pada hari pertama persekolahan bagi prasekolah menaruh keyakinan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu oleh pihak sekolah.
Menurut seorang bapa Hamiedy Haruna, 33, perasaan bercampur baur tidak dapat dielakkan apabila menghantar anaknya ke prasekolah.
“Walaupun merasa gembira kerana prasekolah sudah boleh dibuka tetapi tetap risau dengan kesihatan anak kerana pandemik COVID-19 yang belum selesai sepenuhnya, tetapi saya yakin dan pasti pihak sekolah telah melaksanakan SOP yang perlu dipatuhi.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak sekolah yang bertungkus-lumus mematuhi SOP yang perlu diikuti dan diharap semua anak-anak di Labuan agar dihindari dengan penyakit COVID-19,” katanya yang ditemui selepas menghantar anaknya ke Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh semalam.

Imbasan suhu badan dilakukan di pintu masuk sekolah sebagai sebahagian daripada SOP yang perlu dipatuhi.
Menurut Hamiedy, beliau membuat persediaan dengan sentiasa menasihatkan anaknya menjaga kebersihan diri semasa berada di sekolah.
“Selain menjaga kebersihan saya turut nasihatkan anak saya untuk menjaga jarak sosial antara rakan-rakan sekelas dan diharap mereka bersedia untuk meneruskan sesi persekolahan dengan norma baharu,” jelasnya.
Seorang lagi bapa yang ditemui, Mohd Aziz Hamzah, 36, tidak dapat menyembunyikan perasaan risau apabila menghantar anaknya ke sekolah selepas lama bercuti.
“Memang sedikit risau kerana sudah lama bercuti dan anak tidak terdedah dengan dunia luar tetapi hari ini sesi pembelajaran sudah bermula tetapi saya selalu nasihat kepada anak untuk jaga kebersihan, elakkan selalu menyentuh muka dan hidung dengan tangan dan tidak terlalu rapat apabila berinteraksi dengan kawan-kawan.
“Saya yakin anak boleh sesuaikan diri dengan semua norma baharu yang dijalankan di sekolah seperti beliau menyesuaikan diri untuk mula bersekolah sebelum ini,” katanya.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad ketika membuat tinjauan hari pertama persekolahan prasekolah, di sini semalam.
Seorang murid Prasekolah SK Bebuloh, Damia Qaisara Hamidi, 6, berkongsi rasa teruja kembali bersekolah dengan norma baharu.
“Saya bangun awal selepas dikejutkan ayah dan ibu, rasa seronok sangat kerana rasa rindu untuk jumpa kawan-kawan dan cikgu.
“Saya tidur pukul 10.00 malam kerana mahu bangun awal hari ni, masa cuti saya main dan belajar sahaja di rumah tapi hari ini saya boleh belajar semula di sekolah,” kongsinya yang bercita-cita menjadi seorang pendidik.
Kira-kira 803 orang murid prasekolah dan 1513 orang murid tadika swasta di 29 buah tadika serta prasekolah memulakan sesi persekolahan di Labuan semenjak semalam.
-SH