
Laporan/foto: Norshima Ariffin/Nur Fariza Farnoh (Melaka)
MELAKA, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Politeknik Melaka (PMK) berhasrat menjalin kerjasama dua hala dengan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka (JaPen Melaka) sebagai usaha menambah baik serta bersilang bidang kepakaran di organisasi masing-masing.
Pengarah PMK, Charim Ibrahim dalam rangka kerja kunjung hormatnya ke pejabat JaPen Melaka baru-baru ini berkata, PMK berhasrat mengadakan kolaborasi secara bersama, melibatkan pelajar dan pensyarah dalam mengendalikan program-program yang dianjurkan JaPen Melaka.
“JaPen Melaka mempunyai ramai pengacara majlis yang berbakat, sehubungan itu kami amat berbesar hati sekiranya pihak JaPen Melaka sudi mengatur perancangan membabitkan para pelajar kami dalam setiap program yang dijalankan serta memberi peluang mempelajari teknik-teknik pengacaraan majlis yang berjaya.
“Pendedahan ini bukan sahaja berguna untuk pengalaman pelajar kami malah ia mampu memberi nilai tambah kemahiran mereka sepanjang menjalani pengajian di PMK,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JaPen Melaka Mohd Rizal Hashim, berkata JaPen Melaka tidak keberatan berkongsi kepakaran yang ada malah mengalu-alukan kolaborasi sebegini bagi tujuan memantapkan lagi program-program yang dianjurkan.
“Kami juga bersedia untuk mendapatkan khidmat kepakaran dari pensyarah PMK khususnya dalam ilmu kejuruteraan berdasarkan penawaran perkhidmatan yang bakal ditawarkan PMK kepada JaPen Melaka selepas menandatangani sijil Kolaborasi Strategik pada 15 Julai 2020 ini,” ujarnya lagi.
Kunjung hormat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Politeknik Melaka, Mohd Azamri Kandari, Ketua Cisec, Lim Chee Hai dan Penyelaras Kolaborasi PMK, Zariyah Abdullah.
-KN