
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu positif COVID-19 yang dilapor di Malaysia masih pada dua angka iaitu hari ketiga berturut-turut, pada 15 kes dengan 11 melibatkan penularan dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 8,815 kes dengan 130 kes kebolehjangkitan.
“Daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, empat adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja, iaitu dari Belanda, Arab Saudi, United Kingdom dan Indonesia.
“Daripada 11 kes penularan di dalam negara, 10 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan kemasukan baharu ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Semuja, Sarawak,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, semalam.
Dr Noor Hisham turut melahirkan kebimbangan dengan perkembangan terkini pandemik COVID-19 di negara ini berikutan jumlah kes harian yang meningkat, khususnya kes penularan dalam negara.
Katanya jumlah kes aktif telah menurun kepada 63 kes pada 9 Julai lepas, namun mula meningkat dan jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai dan kini mencecah 130 kes.
“Sehingga 21 Julai, jumlah kluster yang aktif ialah 19 kluster dengan 13 kluster baharu diumumkan dalam tempoh 10 hari ini. Tiga daripada 13 kluster ini berkaitan dengan penularan tempatan kes COVID-19 daripada kes import iaitu Kluster PUI Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa.
“Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan memandangkan ia melibatkan kluster terpencil di atas sebuah kapal yang sedang berlabuh,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan menyambut baik keputusan kerajaan mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di stesen kuarantin berkuat kuasa 24 Julai, seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Beliau yang mengharapkan keputusan itu dapat mengelakkan kewujudan kluster lain, turut mengingatkan masyarakat terdapat sembilan kluster melibatkan kes tempatan yang tiada kaitan dengan kes import pada masa ini.
“Ini menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula menghindari prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” tegasnya.
— BERNAMA