
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)
PADANG BESAR, 14 Julai (Malaysiaaktif) – Para penggiat media sosial disaran menggunakan platform media sosial dalam mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Sri Hajah Nancy Shukri, pada masa kini media sosial merupakan medium utama dalam menyebarluaskan maklumat secara pantas ke seluruh dunia yang sewajarnya digunakan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan.
“Negeri Perlis yang terkenal kerana memiliki keunikkannya yang tersendiri seperti hamparan bukit-bukit dan sawah padi yang menghijau, pelbagai juadah makanan yang begitu enak dan unik serta lokasi-lokasi pelancongan yang menarik mampu menggamit lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke sini.
“Jadi saya menyarankan kepada para pencinta alam sekitar yang ingin merasai keenakan makanan di sini seperti laksa, pulut ikan kering, peknga dan makanan laut supaya datang dan menikmatinya sendiri dan seterusnya mempromosikannya di laman media sosial mereka seperti Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya lagi pada sidang media selepas melawat Homestay Mata Ayer, Padang Besar Perlis, baru-baru ini.
Nancy memaklumkan, tujuan utama beliau dan rombangan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ke negeri ini selama dua hari adalah untuk membantu pemilik-pemilik produk pelancongan serta para peniaga yang terjejas akibat wabak COVID-19 yang melanda negara agar dapat menjana kembali pendapatan mereka.
“Perlis merupakan lokasi kelima yang kami kunjungi dan sepanjang berada di sini, saya telah di bawa ke sembilan tempat menarik di negeri ini seperti Muzium Kota Kayang, Taman Herba, Food Court Hotel Brasmana, Masjid Terapung Al-Hussin di Kuala Perlis, Muzium 3D di Gua Kelam.
“Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man juga membawa kami melawat ke Kangar Art Street yang merupakan lorong yang dipenuhi dengan pelbagai jenis hasil lukisan yang menarik dan kreatif,” ujarnya.
Beliau juga turut berkesempatan beramah mesra bersama para pengunjung Warung Tepi Sawah sewaktu bersarapan pagi di situ.
“Kebanyakkan para pengunjung yang saya temui bukanlah orang tempatan, ada yang datang dari Negeri Perak, Kedah serta Pulau Pinang dan mereka sering ke sini kerana terpukau dengan keunikan yang terdapat di sini.
“Keunikan pelbagai jenis makanan dan minuman yang ada di sini menjadi daya tarikan utama yang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat,” ujarnya lagi.
Beliau difahamkan terdapat lebih dari tiga puluh aktiviti pelancongan yang boleh dijadikan daya tarikan dalam menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri.
“Saya berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing dalam mempromosikan lagi produk-produk ini kepada orang ramai,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan, Exco Pelancongan Negeri Perlis Asmaiza Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof.
-NI-