Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Suspek Bunuh Kucing Direman Empat Hari

By 14 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JPVM

PUTRAJAYA, 14 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia menjelaskan suspek yang membunuh tiga ekor kucing dalam mesin basuh yang tular di media sosial telah ditahan dan direman.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor telah menahan Orang Yang Disyaki (OYDS) pada hari yang sama, 12 Julai lebih kurang pukul 12.15 malam.

“Perintah reman keatas OYDS telah diperolehi dari Mahkamah Selayang, selama empat hari bermula semalam hingga 16 Julai.

“Barang kes yang merupakan tiga karkas (sampel) kucing telah diambil oleh Pegawai Penyiasat untuk dihantar ke Makmal Veterinar Salak Tinggi bagi tujuan bedah siasat.

“Siasatan dijalankan di bawah Subseksyen 29(1)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], iaitu dengan kejamnya menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya ke atas tiga ekor kucing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di facebook sejak Ahad lalu seorang lelaki bertindak kejam membunuh tiga ekor kucing dengan meletakkan haiwan itu di dalam mesin basuh di kedai dobi di kepong.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu turut tular di media sosial dan menerima kecaman warganet yang mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa.

-NAZ

Tinggalkan komen anda