Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

MB Pahang Rasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK

By 17 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Pahang) 

ROMPIN, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menyempurnakan perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Gemok Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam yang bertujuan memajukan segera, memajukan semula, memperelokkan lagi, untuk memulihara atau untuk tujuan pengurusan sesebuah kawasan.

Menteri Besar Pahang melawat ke pameran yang disediakan oleh penganjur.

Menteri Besar Pahang melawat ke pameran yang disediakan oleh penganjur.

Menurut Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr. Mohd Anuar Maidin, program ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada orang awam untuk memeriksa, membuat semakan, mengemukakan bantahan dan representasi terhadap Laporan Draf RKK yang telah disediakan bermula 1 Julai 2020 sehingga 31 Julai 2020 di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

“Pelan Tindakan Pembangunan Keseluruhan bagi Draf Rancangan Kawasan Khas Tanjung Gemok ini telah menyenaraikan sebanyak 122 cadangan keseluruhan projek mengikut keutamaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 40 cadangan projek adalah berbentuk ‘quick win’ untuk pelaksanaan segera yang dijangka akan memberi impak kepada pembangunan Tanjung Gemok untuk tempoh perancangan tahun 2020 dan 2021,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menteri Besar Pahang sewaktu merasmikan program ini memaklumkan hasrat pihak majlis agar Draf RKK Tanjung Gemok ini berupaya menjadi ‘engine of growth’ dalam membentuk Tanjung Gemok agar lebih berdaya saing dalam menerima arus pemajuan daerah dan negeri demi pembangunan daerah yang lebih baik.

“Rancangan kawasan khas Tanjung Gemok merupakan rancangan pemajuan yang disediakan untuk tujuan pelaksanaan segera dan berkepentingan khusus sebagai ‘enablers’ kepada pelancongan, ekonomi dan aktiviti maritim.

“Saya turut menyeru kepada pihak yang ingin memberi pandangan serta cadangan terhadap Draf RKK Tanjung Gemok yang disediakan ini supaya mengemukakan pandangan dan cadangan tersebut kepada Majlis Daerah Rompin dalam tempoh tersebut untuk diambil tindakan selanjutnya oleh pasukan petugas agar bandar Tanjung Gemok dapat dirancang dengan teliti ke arah kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang Abd Rahim Muda, Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin, dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

-KN

Tinggalkan komen anda