Laporan/foto: Nur Syafiq Zaman/Mohd Fauzi Mohd Yusoff (Tampin)
TAMPIN, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Semenjak dibenarkan beropearsi awal Julai lalu, Pasar Tani Daerah Tampin yang dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, telah memastikan semua peniaga dan pengunjung pasar tani mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut pegawai FAMA merangkap Timbalan Pengerusi Tapak Pasar Tani Daerah Tampin Hassan Awang, para peniaga telah diberi taklimat terperinci berkaiatan SOP yang perlu dipatuhi sebelum operasi pasar tani ini dijalankan.
“Sebelum operasi tapak pasar tani ini dibuka, pihak FAMA telah memanggil kesemua peniaga untuk diberi taklimat berkaitan SOP yang perlu dipatuhi oleh para peniaga, selain sanitasi penyahkuman turut diadakan di tapak pasar tani setiap kali sebelum dan selepas operasi perniagaan dijalankan.
“Gerai jualan telah dihadkan kepada 46 gerai sahaja berbanding 53 gerai sebelum ini dan pengunjung turut diberi nombor dan dihadkan kepada 200 orang sahaja dalam satu masa,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurut Hassan, susunan jarak antara gerai adalah mengikut SOP iaitu sejauh 1.5 meter hingga dua meter antara satu sama lain.
“Gerai jualan turut diasingkan mengikut kategori perniagaan seperti barangan basah, barangan keperluan harian, pakaian serta makanan dan minuman.
“Sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19, para pengunjung tidak dibenarkan untuk menyentuh barangan yang dijual dan sekiranya ingin membeli barangan tersebut, peniaga akan membantu membungkus dan memilih setiap barangan yang diperlukan oleh pembeli, sekali gus memudahkan urusan perniagaan kerana proses jual beli tersebut tidak memerlukan masa yang lama,” katanya lagi.
Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut ditugaskan di laluan pintu masuk utama bagi membuat saringan suhu badan dan mencatat maklumat setiap individu yang berkunjung ke pasar tersebut menerusi aplikasi Kod QR dan MySejahtera.
Pasar Tani Daerah Tampin dibenarkan beroperasi bermula 7.00 hingga 11.00 pagi dan dipantau oleh pegawai FAMA yang bertugas pada setiap minggu.
-SH