
Laporan/foto: Salina Hasan@Abd Rashid/Rizal Jasmi (Alor Gajah)
MELAKA, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Keadaan pinggiran pantai yang terhakis mengundang perasaan tidak keruan kepada para nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi, Masjid Tanah.
Menurut salah seorang nelayan tempatan, Mohd Nasir Derus, beliau berharap agar pihak kerajaan dapat membantu membaik pulih kawasan pantai ini kerana menyukarkan para nelayan untuk mendaratkan bot mereka sehingga menyebabkan mata pencarian mereka sedikit terjejas.
“Hakisan tersebut semakin mendekati kawasan perumahan yang berhampiran di tepi pantai dan ianya amat membimbangkan penduduk setempat jika berlaku tiupan angin kuat yang tidak dijangkakan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Che Hussin, pandangan dan pendapat penduduk setempat telah disuarakan kepada wakil rakyat dan Jabatan yang berkaitan agar mereka mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Sebagai salah seorang nelayan di kampung ini, perkara ini tentulah menimbulkan keresahan kepada saya. Saya harap pihak berkaitan dapat berbuat sesuatu demi kami rakyat Melaka,” katanya.
-KN