Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Guru Perlu Biasakan Diri Dalami Kemahiran Pendidikan Dalam Talian

By 2 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson

PORT DICKSON, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Bagi memenuhi tuntutan pembelajaran dalam bentuk pembelajaran di rumah guru perlu membiasakan diri mendalami kemahiran pendidikan secara dalam talian.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md. Fiah Md. Jamin berkata COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan menjadikan guru aktif serta proaktif khususnya dalam hal menangani masalah penyampaian kepada anak murid.

“Anjakan paradigma dalam kalangan pendidik begitu menyerlah ketika ini. Kepantasan para guru menyesuaikan diri dalam mengadaptasikan keperluan baharu semasa COVID-19 meyakinkan kita bahawa guru-guru di negara ini mampu mendepani cabaran Revolusi 4.0 dengan sempurna.

“Penghayatan guru terhadap makna sebenar pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat harus menjadi amalan yang sentiasa disuburkan bersama,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah, di sini baru-baru ini.

Menurut Md. Fiah, pengalaman bertugas dalam musim pandemic merupakan pengalaman bermakna kepda guru-guru untuk mampu bertindak dengan betul sekiranya berlaku wabak seumpama ini pada masa akan datang.

“Profession perguruan terpilih dalam menyumbang dan melakar sejarah kepada dunia pendidikan ketika negara berdepan dengan situasi COVID-19.

“Sambutan hari guru kali ini menandakan pengiktirafan dan penghargaan tertinggi negara kepada guru atas sumbangan mendidik anak bangsa dahulu, kini dan akan datang. Biarpun 16 Mei yang lalu disambut secara individu di rumah masing-masing, sambutan hari guru tetap hangat diraikan meskipun dizahirkan di aplikasi dalam talian seperti WhatsApp, Twitter, Instagram, Facebook dan seumpamanya,” katanya.

Md. Fiah, menjelaskan tema sambutan hari guru kali ini, “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” dibuktikan bahawa semua insan bergelar guru mampu menempuh semua kepayahan dalam menjadi guru yang professional.

“Semangat sentiasa ingin belajar dalam kalangan guru akan dinilai oleh murid-murid dan masyarakat yang akan menjadikan mereka kreatif dan inovatif dalam bidang mereka. Jika ini berlaku dalam setiap anggota di sesebuah organisasi sekolah, maka organisasi pembelajaran mampu kita capai bersama,” katanya lagi.

Sementara itu, bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Port Dickson Tahun 2020, pesara guru yang merupakan mantan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad (SDASA) Malik Sohor telah dianugerahkan Anugerah Tokoh Guru 2020 Daerah Port Dickson. Turut dinobatkan Ikon Guru bagi tiga kategori iaitu Ikon Guru Inovasi (Pathma a/l Mogan), Ikon Guru Kokurikulum (Shalini a/p Kumarasamy) dan Ikon Guru Pra Sekolah (Hafizah Ismail).

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda