Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Mi Sasak Eratkan Perpaduan Warga Labuan

By 30 Ogos 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Salah satu juadah unik yang ada di Labuan adalah Mi Sasak yang bukan sahaja menambat selera malah mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di sini.

Menurut Peniaga Mi Sasak, Gary Chong Jen Tshum, 46, perniagaan mi goreng yang dimulakan datuknya sejak 50 tahun lalu itu menyimpan sejarah kehidupan penduduk Labuan yang penuh harmoni.

“Memang dari dulu pelanggan kami terdiri dari pelbagai bangsa dan kebanyakan orang tempatan terutama warga yang sudah berusia amat mengenali mi sasak.

“Nama Mi Sasak itu sendiri datang daripada perkataan sasak (sesak) apabila orang ramai pada ketika itu membeli mi ini dengan bersesak-sesak.

Menurut Gary, perniagaan mi goreng yang dimulakan datuknya sejak 50 tahun lalu itu menyimpan sejarah kehidupan penduduk Labuan yang penuh harmoni.

Menurut Gary, perniagaan mi goreng yang dimulakan datuknya sejak 50 tahun lalu itu menyimpan sejarah kehidupan penduduk Labuan yang penuh harmoni.

“Itu yang saya paling suka apabila berbilang bangsa makan mi sasak ini dan saya gembira mi ini boleh menyatukan semua kaum di Labuan,” katanya.

Gary yang merupakan generasi ke empat dalam perniagaan itu nyata tidak ragu-ragu untuk meneruskan legasi kegemilangan mi sasak.

“Perniagaan ini diwarisi daripada datuk, makcik-makcik saya dan sekarang saya ambil alih kerana saya rasa mi ini unik dan tidak ada di tempat lain tambah pula saya tidak mengubah resepi asal mi ini menyebabkan ramai pelanggan tetap akan terus datang ke sini.

“Mi ini digoreng tanpa menggunakan minyak, menggunakan hanya beberapa bahan asas seperti mi, telur, taugeh, kek ikan dan ini menambahkan lagi keunikan dan tarikan kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan yang lebih sihat,” jelasnya.

Seorang pelanggan tetap Jahrin Ismail, 56 berkata beliau sudah mula menikmati mi sasak sejak berusia enam tahun.

Jahrin mula menikmati juadah ini sejak berusia enam tahun.

Jahrin mula menikmati juadah ini sejak berusia enam tahun.

“Saya sudah menikmati mi sasak sebelum saya sekolah, kami sekeluarga memang suka makan mi sasak dan makanan ini mengimbau kembali banyak kenangan saya bersama keluarga.

“Mi ini dimasak dengan sangat mudah tetapi rasanya sedap dan lebih sedap dimakan semasa ia masih panas,” kongsinya.

Jahrin turut berkongsi rasa gembira melihat suasana harmoni penduduk Labuan yang berbilang kaum menikmati keistimewaan mi sasak.

“Saya begitu suka melihat orang Labuan pelbagai kaum duduk semeja bersembang sambil makan mi sasak dan ini menjadi satu tarikan kepada orang luar yang melihat situasi ini sebagai satu yang jarang berlaku,” katanya.

Bagi Tan Ah En, 66, yang juga merupakan pelanggan mi sasak sejak di bangku sekolah mengakui kelebihan mi sasak.

Restoran ini seperti menjadi tempat perjumpaan orang Labuan daripada pelbagai bangsa dan juga menjadi tarikan pelancong luar - Ah En.

Restoran ini seperti menjadi tempat perjumpaan orang Labuan daripada pelbagai bangsa dan juga menjadi tarikan pelancong luar – Ah En.

“Dari dahulu lagi masa saya budak sudah makan mi sasak, mi ini ringkas, kurang minyak tetapi rasanya masih sedap menyebabkan ramai orang menjadi peminat mi sasak sejak puluhan tahun dulu.

“Keadaan itu menjadikan tempat menjual mi sasak seperti menjadi tempat perjumpaan orang Labuan daripada pelbagai bangsa dan juga menjadi tarikan pelancong luar,” katanya.

Sementara itu, Nagarajan Gopal, 58 yang baharu menetap di Labuan selama enam tahun mengakui sedikit terkejut dengan situasi yang dilihatnya apabila mula-mula sampai di wilayah ini.

“Saya lihat orang Labuan yang berbilang kaum boleh duduk semeja menikmati mi sasak sambil berbual-bual seperti sebuah keluarga dan ini bagi saya satu pengalaman baharu yang susah saya lihat di tempat lain.

“Persekitaran ini membuatkan saya begitu selesa menetap di Labuan dan saya rasa mahu terus tinggal di sini,” katanya penuh ceria.

-SH

Tinggalkan komen anda