
Laporan/foto: Rozer Masudin/PMM
MERLIMAU, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 59 bahan pengajaran dalam talian berjaya dibentang dan dikongsi sempena National Digital Learning Talk (nDLearnT’20) di Politeknik Merlimau (PMM).
Pengarah PMM Mohd Hatta Zainal, berkata ia merupakan hasil kerja keras oleh semua warga PMM yang diketuai Jawatankuasa e-Pembelajaran PMM dalam memastikan kejayaan penganjuran nDLearnT’20 ini berlangsung dengan jayanya.
“Semangat esprit de corps yang ditunjukkan oleh warga kerja PMM bagi program ini menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya warga PMM untuk merealisasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan cara norma baharu.
“Sejumlah 59 peserta telah mengambil bahagian pada penganjuran buat kali pertama ini yang turut melibatkan beberapa buah Politeknik dan Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, di mana emua peserta ini telah berkongsi bahan inovasi pengajaran dalam talian kepada warga pendidik yang lain,” katanya selepas merasmikan penutupan nDLearnT’20, di sini semalam.

Hatta (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi pertandingan menghasilkan video pembelajaran PMM.
Sementara itu, menurut Pengarah Program Zid Abrar Akbar, platform ini amat berguna kepada para pensyarah di institut pengajian tinggi kerana senario dunia pendidikan kini memerlukan agar setiap sesi pengajaran dan pembelajaran perlu dibuat secara dalam talian.
“Di PMM sendiri kami menyedari beberapa kekangan yang dihadapi oleh rakan-rakan pensyarah dalam melaksanakan pengajaran dalam talian. Oleh itu, nDLearnT’20 ini telah memberi idea dan buah fikiran dalam inovasi pembelajaran secara digital.
“Para pensyarah juga perlu menjadi kompeten dalam menggunakan aplikasi penyedia kandungan video digital terkini seperti Youtube dan medium pembelajaran video yang lain. Ini kerana, pelajar era ini amat mahir mengenai teknologi terkini,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Mohd Hatta turut menyampaikan hadiah kemenangan kepada para pemenang bagi Bengkel Penghasilan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian (PdPDT) Asynchronous yang melibatkan seramai 72 pensyarah PMM.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Akademik) PMM Rosita Zainal, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Mohd Hoirie Abdul Manah, dan Pegawai e-Pembelajaran PMM Arrifuddin Ibrahim.
-SH