Skip to main content
HomePutrajaya

Banci 2020: Kadar Respons e-Census Rendah – Mohd Uzir

By 4 September 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Hanya sekitar sejuta penduduk mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Cencus sejak dilaksanakan pada 7 Julai lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah itu adalah rendah jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia seramai 32 juta orang.

“Kalau kita tengok macam Putrajaya baru 12 peratus. Saya katakan sebelum ini negeri-negeri yang berstatus atau kawasan dengan kemudahan seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh, Alor Setar dan Kota Bharu, kawasan bandar seperti ini sepatutnya tinggi,” katanya selepas program libat urus Jabatan Perangkaan Malaysia bersama wakil kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi di Malaysia, semalam.

Beliau berkata program berkenaan diadakan bagi memberi penerangan mengenai Banci 2020 untuk membolehkan wakil kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi memaklumkan kepada rakyat negara masing-masing mengenai tanggungjawab untuk mengisi borang bancian.

Menurut Mohd Uzir, berdasarkan statistik 2010, terdapat kira-kira 2.5 juta warga asing di Malaysia, dan menganggarkan jumlah itu meningkat kepada tiga juta berdasarkan bancian kali ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia memerlukan kira-kira 120,000 pembanci untuk fasa kedua bancian secara bersemuka pada 7 hingga 24 Okt depan, dan orang ramai yang berminat untuk berkhidmat sebagai pembanci, memohon melalui jabatan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda